Ayuh Mengira Angin

Berdiri, melompat, berlari dan terbang meghirup udara segar

Wednesday, June 10, 2009

Minit Terakhir

Mata Herman ligat mencari kod 6218. Tangannya menari-nari di sebalik buku-buku di rak itu.

“Man, kau buat apa?”

“Nik, terkejut aku! Aku cari buku untuk tugasan esok.”

“Kelas Language Acquistion?” Nik mengangkat kening.

“Baru nak cari buku?” Nik bertanya lagi.

Herman angguk. Senyum. Kurang ikhlas.

“Aku tahu kau fikir aku seorang yang pemalas.” Fikir Herman di dalam hati.

“Apa tajuk kau?” Soal Nik lagi, kaget melihat Herman senyum.

Informal Language Learning. Asalnya aku mahu buat Interlanguage. Aku bimbang kerana terlampau luas bidangnya,” ujar Herman, sedikit serius.

“Okey. Semoga berjaya. Aku pergi dahulu,” Nik menepuk bahu Herman.

Herman senyum. Tidak ikhlas. “Terima kasih.”

Herman menyeluk poket seluarnya. Nombor Farid dicari di dalam buku telefon.

“Helo, Farid.”

“Herman. Kenapa?” Suara Farid jelas menunjukkan dia baru terjaga dari tidur.

“Kau dah taip berapa helai? Language Acquisition.” Sedikit cemas.

“Ehem.” Berdehem. Kurang selesa kerana baru terjaga dari tidur.

“Aku baru taip suku helai. Kurang sehelai. Aku tertidur. Aku pun lupa bagaimana aku boleh tertidur,” Farid keliru.

“Hahaha. Bagus! Bila kau mahu bekerja secara serius?” Herman sedikit lega mendengar Farid masih belum menyiapkan tugasan itu.

“Sedang berusaha,” Farid bangun, berdiri, menenyeh matanya.

Herman ketawa lagi. “Okey, aku di perpustakaan, mencari buku. Malam ini aku akan mulakan analisis ini.”
Herman menamatkan perbualan.

Farid berjalan ke arah singki, mencuci muka. Perutnya terasa lapar. Dia menyarung kemeja T, mencapai dompet dan keluar dari biliknya. Perut perlu diisi untuk menjamin kerja berjalan dengan lancar. Maka, produk lebih berkesan.

Setengah jam kemudian, mata semakin berat dek perut penuh berisi. Farid tumbang lagi. Nyata tilam empuk itu sungguh berkuasa.

Jam 8.00 malam, Farid sudah berada di stesen minyak Petronas. Telefon bimbitnya bergegar. Dia mencuit kawan sekerjanya, menunjukkan isyarat bahawa dia perlu menjawab panggilan itu. Kawan itu, mengambil alih tugasnya, menjadi juruwang.

“Herman, aku sedang bekerja.”

“Tahi, aku lupa!” Herman, gemar memaki sesiapa saja.

“Kau berusaha, ya. Aku rasa aku mampu siapkan sebelum esok pagi.”

“Engkau pun. Aku sedikit cuak. Hehe.” Herman ketawa. Ikhlas.

“Aku dilarang menggunakan telefon.”

“Aku tahu. Kau pernah beritahu. Okey, aku mabuk. Selamat tinggal.”

Farid mematikan telefon bimbitnya, gusar jika ditegur lagi. Dia perlukan kerja itu bagi membiayai pengajiannya. Farid berjalan menuju ke arah pekerja dari Bangladesh itu. “Terima kasih, ya.” Dia senyum.

Pukul 11.03 malam, Herman menatap skrin komputernya. Otaknya kaku. Bunyi mesej masuk menyedarkannya. “Tahi, aku tatap skrin hampir setengah jam tanpa menaip!” Bergema tanpa suara.

Mesej dari Farid: Aku balik awal. Sudah berapa helai.

Herman balas: Suku helai. Otak aku gagal berfungsi. Aku lapar.

Farid balas: Aku pun. Kafeteria masih beroperasi, bukan?

Herman balas: Aku terasa ingin makan mi segera. Kau datang ke bilik aku, kita siapkan bersama.

Farid balas: Aku terasa malas. Aku pun mahu makan mi segera. Ayuh, makan!

Pukul 11.30 malam, Herman ke kafeteria, memesan Char Kuey Teow dan ke kedai runcit, membeli dua bungkus mi segera dan sebotol Redbull. “Tahi, nafsu makan aku besar!”

Pukul 11.30 malam, Farid ke kedai runcit, membeli mi segera dan gula-gula. Gula menjana mindanya.

Oh, ya! Mereka tinggal di kampus berlainan. Oleh yang demikian, mereka tidak bertembung. Di dalam perjalanan pulang ke bilik masing-masing…

Herman terserempak dengan kawan sekuliah.

“Man, banyak makanan. Lapar?”

“Entah kenapa, perut terasa lapar.” Herman senyum. Ikhlas.

“Mahu berjaga ke?”

“Ya, ada tugasan harus disiapkan.”

“Bila tarikh hantar?”

“Esok, 10.00 pagi.”

“Oh, dalam proses menyiapkan.” Senyum.

“Tak, baru bermula.” Membalas senyuman itu.

“Oh.” Kelu dan kaku.

“Aku memang malas.” Senyum. Tidak ikhlas.

“Eh, kau pelajar Sarjana. Sibuk, bukan?” Senyum. Herman tahu itu dibuat-buat.

Sengih. “Aku pergi dahulu, ya.”

“Oh. Baiklah.”

Farid terserempak dengan seorang kawan sekuliah.

“Farid, mata kelihatan sembap. Banyak tugasan?”

Farid senyum. “Aku tidur siang tadi. Bangun pukul 2.00 petang. Pukul 6.00 tidur lagi.”

“Sungguh dewa.” Ketawa.

“Sekarang, aku harus berjaga. Ada tugasan perlu diserahkan esok pagi.”

“Oh, baru bermula atau sedang dalam proses?”

“Baru.” Sengih.

Terkejut. “Jelas sekali kau memang seorang dewa.”

“Dewa pemalas.”

Mereka ketawa terbahak-bahak. Farid kurang pasti itu satu jenaka atau tidak.

Mereka pulang ke bilik masing-masing. Makan. Minum. Herman menatap skrin komputer. Farid menyembah kepadaNya. Tuntutan waktu kelima.

Farid menyelak helaian buku pertama. Dia mula membaca. Lima belas minit. Buku kedua. Membaca selama sepuluh minit. Buku ketiga. Dia membaca selama lima minit. Buku keempat. Dia menutup buku itu. Komputer riba dihidupkan. “Tahi, membaca menghidupkan aroma tidur!”

Dia mula menaip. Otaknya laju, tangannya ligat. Segala ilmu berkaitan Informal Language Learning dimuntahkan. Dia rasa seperti orang bijak pandai. Oh, riak dan takbur! Sekadar menyedapkan hati sendiri. Sejam berlalu, sehelai siap ditaip. Bunyi mesej masuk tanda dia perlu berehat.

Mesej dari Herman: Aku baru siap mencari petikan dari orang bijak pandai. Kau?

Farid balas: Aku taip dahulu. Aku lemas dengan membaca. Khuatir tidur.

Herman balas: Celaka! Sudah berapa helai?

Farid balas: Jangan bimbang, saudara. Aku belum ada petikan orang bijak pandai.

Herman balas: Aku cemburu.

Farid balas: Ayuh, usaha tangga kejayaan!

Sesi menghantar pesanan ringkas dihentikan. Mereka menyambung proses yang terbengkalai.

Pukul 4.00 pagi. Farid mula mencari petikan-petikan orang-orang bijak pandai bagi menyokong hujah-hujah kurang bernas beliau. Herman masih menaip. Di halaman kelima. Farid rasa seolah-olah dia perlukan bantuan pernafasan. Rasa sesak di dada. Gagal bernafas dengan baik. Herman pula, berusaha menyekang mata. Matanya makin mengecil. Dia masih gagah dan sememangnya gagah. Kurang perkasa.

Pukul 7.00 pagi. Herman hampir rebah. Dia menghantar pesanan ringkas kepada Farid.

Mesej Herman: Aku hampir rebah. Di halaman kesembilan. Wajibkan sepuluh helai?

Farid balas: Ayuh, Herman. Herman gagah, kuat, hensem, bijaksana. (Aku nyanyi).

Herman ketawa. Sekurang-kurangnya dia mampu bertahan untuk menyiapkan helaian terakhir tugasan itu. “Farid memang bangang!” Ketawa. Lucu.

Pukul 8.00 pagi. Herman dan Farid mandi. Gosok gigi. Pakai baju. Farid rasa seperti kebulur. Pagi itu, sebelum membasahi tubuhnya, dia muntah keluar asid. Nyata itu serangan gastrik ringan-ringan. Oleh kerana itu, dia mandi dengan rasa lemah dan malas. “Lapar, neraka berdarah!” Minda yang negatif merangsang dirinya untuk bergerak secara pasif. Dikala dia sedang menari mendengar lagu Perempuan Gaga, Menarilah, Herman sudah tiba ke lab komputer untuk mencetak tugasan. Herman sempat membalas testi-testi bagi akaun Friendster dan mengemaskini akaun Facebook miliknya. Cekap Herman, ya! Dan Farid, masih di bilik.

Selesai menari mengikut irama lagu, Farid rasa sedikit bertenaga. Dia berjalan ke lab komputer. Sebaik mencetak tugasan, Farid mengajak Herman bersarapan. “Aku kebulur tahap neraka berdarah.” “Ayuh! Aku kebulur tahap babi mengawan.” Seru Herman. Farid berfikir. “Ada ke babi mengawan?” “Ada, kalau tiada, macam mana anak babi lahir?” Herman keliru. Dia fikir Farid sedang mabuk.

Pukul 10.00 pagi. Di dalam kelas Language Acquisition, Farid dan Herman tiba agak awal. Rakan-rakan kagum dengan mereka. Cerita mereka pelajar yang ‘rajin’ menyiapkan tugasan tersebar. Ada yang terkejut kerana mereka berjaya menyiapkan tugasan. Mereka terkejut kerana yakin Farid dan Herman akan gagal. Celaka kepada doa itu! (Istighfar). Farid dan Herman sedikit khuatir kerana mereka menyiapkan di dalam keadaan tergesa-gesa. Atas desakan hidup.

Pukul 11.30 pagi, selepas rehat. Masih di dalam kelas yang sama. Farid tidur. Seorang rakan sekelas sedang melakukan pembentangan. Profesor di belakang tidak perasan akan Farid. Herman menyepak kaki Farid, khuatir air liurnya meleleh.

Herman mengeluh. “Betul atau tidak tindakan aku memilih untuk melakukan Ijazah Sarjana ini?” Matanya kian layu.

Credit to: Ainguzzle

No comments:

Post a Comment