Ayuh Mengira Angin

Berdiri, melompat, berlari dan terbang meghirup udara segar

Wednesday, June 10, 2009

Herman dan Julius Lester

“Tajuk cerita pendek saya ialah Orang-orang Yang Boleh Terbang, dikarang oleh Julius Lester.”

Diam. Seisi kelas diam. Memberi perhatian. Namun, lain di fikiran Herman. Gusar melihat semua mata memandang, seolah-olah tidak mengerti.

“Mereka memang terbang. Jangan tanya kenapa. Saya tidak tahu.” Bulat mata Herman meyakinkan.

Seisi kelas gamat. Gamat dengan ketawa.

“Saya serius. Saya tidak tahu, kenapa mereka terbang,” Herman bimbang.

“Tak mengapa. Teruskan. Kami ingin tahu,” kata Khadeeja.

Mereka ketawa lagi. Dahi Herman berkerut. “Boleh saya teruskan?”

“Boleh!” Kedengaran beberapa suara menjawab. Serentak.

“Tahi lembu jantan! Kenapa mereka ketawa. Aku serius!” Herman bermonolog di dalam hati. Serius. Dia bimbang. Dia memandang Farid. Farid masih ketawa bersama Hidayah. “Tahi!”

Herman menelan air liur.

“Kisah ini berlaku selepas perang dunia kedua. Orang-orang barat, berkulit putih berlayar ke Afrika. Di Afrika, orang-orang Amerika membawa orang-orang Afrika pulang bersama mereka ke Amerika.” Herman diam seketika. Seisi kelas diam.

Herman mengangkat keningnya, seperti bertanya tanpa suara. “Kenapa? Aku silap cakap ke?” Fikirnya.

Beberapa orang pelajar ketawa.

“Maksud saya di sini, mereka dibawa secara paksa. Bukan dengan kerelaan hati.”

Mereka ketawa lagi melihat mimik muka Herman. Termasuk Farid, kawan rapatnya.

“Baiklah. Di dalam perjalanan ke Amerika. Ramai yang meninggal dunia kerana keadaan di dalam kapal yang sesak. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada yang meninggal dunia. Jangan tanya saya kerana pengarang tidak menulis berkenaan mereka. Mereka yang telah meninggal dunia.”

Mereka ketawa lagi. Dahi Herman berkerut memandang seisi kelas. “Aku berjenaka ke?” Kurang puas hati.

“Mereka tiba di Selatan Carolina, Amerika. Di sana, orang-orang Afrika dijadikan hamba dan bekerja di ladang milik orang-orang berkulit putih. Mereka dipaksa menjadi hamba-hamba kepada orang-orang Amerika. Oleh kerana tidak tahan dipaksa bekerja keras, ada di antara mereka yang cuba melarikan diri. Mereka melarikan diri melalui laut. Menurut petikan di dalam cerita ini, “…mereka berjalan di atas air untuk melarikan diri”. Halaman satu. Secara jujurnya, saya rasa maksud pengarang ialah berenang. Mana mungkin manusia boleh berjalan…”

Gamat. Ketawa lagi. Herman terkejut melihat ketawa mereka pecah. Berderai.

“Kamu fikir mereka berjalan di atas air?” Soal Herman. Kurang puas hati.

“Teruskan, Herman.” Khadeeja, sedang merakam pembentangan Herman.

“Eh, kenapa kau rakam aku?” Herman terkejut. “Teruskan…” kata Khadeeja lagi. Khadeeja, duduk di barisan paling hadapan di dalam kelas itu.

“Oleh kerana mereka pilih untuk melarikan diri, semestinya mereka meninggal dunia. Berenang dari Amerika ke Afrika? Mustahil untuk sampai, bukan?” Herman berhenti seketika. Dia berfikir.

“Mungkin ada yang tiba di Afrika, siapa tahu, kuasa Tuhan.”

Kali ini ketawa pecah lagi. Khadeeja menahan dirinya daripada ketawa, mengelak untuk rakaman video Herman kelihatan bergegar. Herman mengeluh. Kurang puas hati. “Kenapa aku diketawakan!” Bergema di dalam hati.

“Apa yang pasti, tindakan untuk melarikan diri melalui laut digambarkan oleh pengarang sebagai bunuh diri. Menurut pengarang, mereka lebih rela mati daripada diperlakukan sebagai hamba-hamba kepada orang-orang kulit putih itu.” Herman diam seketika. “Mereka tidak ketawa. Petanda baik.” Herman senyum. Khadeeja ketawa.

“Kenapa? Aku hanya senyum. Senyum itu sedekah,” Herman kurang puas hati.

“Teruskan, Her,” ujar Farid. Dia duduk di barisan paling belakang.

“Suatu hari yang sangat panas, seorang hamba wanita yang sarat mengandung pengsan. Seorang lelaki berkulit putih datang kepadanya dan menyebatnya sehingga dia terjaga.” Herman membuat lagak sebat itu. Seisi kelas ketawa lagi. Herman tidak mengendahkan mereka. “Saya tidak tahu apa jawatan dia. Mandur, barangkali. Jangan tanya saya apa jawatannya.”

Kali ini kelas gamat dengan ketawa lagi. Herman terkebil-kebil.

“Di dalam ladang itu, terdapat seorang dukun. Namun, tiada siapa yang tahu bahawa dia seorang dukun. Dia datang secara perlahan-lahan ke arah wanita itu.” Herman membuat lagak berjalan secara perlahan-lahan.

Farid ketawa berdekah-dekah. Seisi kelas turut ketawa mendengar tawa Farid.

“Lagu Harimau Merah Jambu mengisi ruang kepala aku. Kau memang geliga, Her.” Farid ketawa. Hidayah memandang Farid. Pelik, kenapa Farid masih ketawa.

“Perlu ke dia lakonkan aksi itu di hadapan?” Aing ketawa.

“Aku setuju. Aku rasa dia memang seorang yang kelakar. Dia masih kelihatan keliru. Mungkin, dia tidak sedar bahawa dia seorang yang kelakar.” Nurul senyum. Aing senyum. “Sah, Herman sudah ada peminat!” Fikir Aing.

Malas untuk memikirkan punca rakan-rakan ketawa, Herman meneruskan pembentangannya. “Dukun itu berbisik sesuatu di telinga wanita mengandung itu. Tiba-tiba, seorang lagi hamba pengsan.” Herman diam. Berfikir. “Mungkin kerana cuaca yang panas.”

Terdengar suara perlahan, ketawa. “Tahi! Kamu semua!” Di dalam hati. Herman geram.

“Orang kulit putih itu menuju ke arah hamba yang pengsan itu. Dia menyebatnya sehingga hamba itu terjaga. Sebaik lelaki kulit putih itu berlalu, dukun itu datang dan membisikkan sesuatu ke telinganya. Dia bangun, berdiri dan terbang. Terbang begitu sahaja.”

Ketawa.

“Dukun itu berbisik ke telinga hamba lain. Hamba-hamba itu menyebarkan bisikan itu. Mungkin satu mentera. Apa menteranya, jangan tanya saya. Saya tidak tahu.”

Ketawa.

Herman mengerutkan kening. “Akhirnya mentera itu tersebar dan semua hamba terbang di udara. Saya tidak tahu samada mereka benar-benar terbang atau tidak kerana saya tidak berada di tempat kejadian…”

Ketawa.
Kali ini, Herman betul-betul gusar. Dia bimbang akan markah pembentangannya. Apa kata Doktor K di belakang? Dia serius dan rakan-rakan fikir dia berjenaka.

“Saya tidak pasti mereka berjaya melarikan diri atau tidak. Menurut pengarang, sehingga kini tiada siapa yang tahu apa yang dibisikkan oleh dukun itu dan tiada siapa yang tahu, ke mana mereka semua terbang. Saya harap hamba-hamba itu selamat dan bebas. Moga hidup mereka bahagia sepanjang hayat.”

Farid menepuk meja. Dia ketawa berdekah-dekah. Yang lain turut ketawa.

“Tahi, kau Farid.” Di dalam hati. Geram. Herman memandang Farid, senyum sinis.

Herman menelan air liur. Pembentangannya harus diteruskan.

“Menurut Al-Attas…”

Sepuluh minit kemudian, Herman kembali ke tempat duduknya, di sebelah kiri Farid.

“Kenapa kau tahi lembu jantan? Kau ketawakan aku!” Tanya Herman.

“Her, jangan emosi. Nanti kau gila. Serius, sahabat. Kau memang lucu di hadapan tadi. Aku tidak tahan. Aku suka pembentangan kau. Bijaksana.” Farid bersungguh-sungguh.

“Aku rasa seolah-olah aku diketawakan.”

“Memang kau diketawakan.” Farid berfikir. Kurang faham.

“Herman, aku tidak tahu yang kau fasih berbahasa Melayu. Kau dari Indonesia, bukan?” Soal Nurul. Nurul mencuri dengar perbualan mereka berdua.

Oh, ya! Mereka pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris menjadi pengantara mereka di dalam kelas. Herman, berdarah kacuk, sering disangka bukan anak jati Malaysia.

“Aku orang Malaysia. Anak jati Malaysia.” Herman senyum. Kurang ikhlas.

“Dia memang pendatang. Wajahnya persis orang-orang Indonesia, bukan,” sampuk Farid. Sengih.

“Tahi. Diam Farid.”

“Aku sangka kau dari Indonesia. Salam perkenalan. Aku Nurul,” Nurul senyum.

“Aku Herman. Salam perkenalan.” Senyum. Tidak ikhlas.

“Herman ada peminat…” bisik Farid perlahan ke telinga Herman.

“Diam, kau tahi.” Herman rimas.

“Aku bukan tahi. Aku seorang manusia.” Farid kembali serius. Dia tahu itu gurauan.

Herman sengih. Senyum. Ikhlas.

Mereka menumpukan perhatian kepada pembentangan seterusnya. Pembentangan yang bosan.

Pukul 7.15 malam. Farid dan Herman meluru keluar dari kelas. Pelik melihat pelajar-pelajar perempuan mengerumuni Doktor K.

“Herman. Tahniah! Menarik sekali pembentangan kau,” ujar Aing.

“Tahi. Aku hairan kenapa aku diketawakan.”

“Jangan fikir lagi, Her. Aku rasa baik kau pulang. Kau ada janji temu dengan Nadya, bukan? Aing, Nadya, teman istimewa Herman. Sila tulis di dalam blog.” Farid senyum.

Aing senyum.

“Tahi, Farid.” Herman sengih. “Teman wanita Farid bernama Balqis.” Sinis senyuman Herman.

“Neraka berdarah. Aku bujang!”

“Siapa cakap kau sudah kahwin.” Herman sengih.

“Aing, aku bujang.” Farid cuba meyakinkan Aing.

“Aku mahu makan dan pulang. Selamat tinggal.” Sengih. Senyum. Nakal senyuman itu.

Nota:

*Harimau Merah Jambu: Pink Panther

Credit to: Ainguzzle

No comments:

Post a Comment